fbpx

Bukit Aman siasat laporan Najib terhadap LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa satu siasatan sedang dijalankan berhubung laporan polis yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan berhubung laporan yang diterima itu dijalankan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

“Semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa yang terdekat.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan pihak PDRM akan memastikan siasatan dilakukan secara adil, saksama dan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Najib menerusi satu kemas kini status di laman Facebook peribadinya semalam berkata, beliau dimaklumkan bahawa siasatan awal selepas beberapa kenyataan diterima PDRM mengesahkan ada unsur salah guna kuasa dan pemalsuan dokumen kerajaan.

“Kertas sisastan sudah dilanjutkan dari PDRM Sentul ke Bukit Aman. Saya faham sekiranya penjawat awam terpaksa mengikut arahan tetapi saya tidak akan maafkan ahli-ahli politik yang sengaja menganiaya saya berdasarkan fitnah dan salah guna kuasa.

“Sudah dua tahun saya difitnah dan propaganda dikenakan atas saya akibat isu ini. Saya nak tahu siapa yang arahkan untuk kenakan cukai tambahan ke atas saya atas RM2.6 bilion yang dikembalikan kepada penghantar selepas 4 bulan tanpa memberi saya sebarang peluang untuk mempertikaikan pengiraan taksiran cukai,” ujar beliau.

Terdahulu, Najib pada 8 September lalu membuat satu laporan polis terhadap LHDN selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan daripada ahli politik yang mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Najib mendakwa, mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI