KUALA LUMPUR – Sebanyak 11,710 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan sebanyak 26 projek telah siap dibina di seluruh negara sejak tahun 2018.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak 28 projek merangkumi 10,570 unit rumah PPR pula dalam pembinaan.
“Manakala sebanyak 11 projek merangkumi 4,120 unit rumah PPR berada dalam peringkat perancangan di seluruh negara
“Kerajaan komited dalam menyediakan PPR kepada golongan B40 dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dengan mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk perumahan mampu milik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengenai unit rumah PPR yang telah siap dibina serta yang dalam perancangan untuk dibina.
Menjawab soalan tambahan, Reezal Merican berkata, aspek penyelenggaraan 3,519 projek perumahan lama skim strata kos rendah akan ditambah baik.
Jelasnya, beliau akan memohon peruntukan kepada Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2022 untuk melaksanakan kerja penambahbaikan berkenaan.
“Kita ada cabaran juga kerana kita ada skim perumahan lama yang tiada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang dibina sebelum Akta Pengurusan Strata 2013.
“Ini adalah bangunan yang agak tidak terbela, sebab itu dalam belanjawan kali ini saya mahu
ia dapat pembelaan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929