PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat tidak sepatutnya menjadikan alasan mendapat ancaman bunuh sebagai sebab untuk tidak kembali ke tanah air.
Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, beliau yakin pihak berkuasa di Malaysia akan memastikan Muhammad Sajjad tidak akan diapa-apakan.
“Dalam keadaan ini Muhammad Sajjad berhadapan dengan tindakan undang-undang yang perlu dibuktikan sama dia bersalah atau tidak bersalah.
“Pembunuhan terhadap transgender kerana kebencian setakat ini tidak dilaporkan di Malaysia dan perkara ini disahkan pihak polis dengan kematian melibatkan transgender bermotifkan rompakan, dadah serta kes lain-lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, negara Barat seperti Brazil dan Amerika Syarikat yang kelihatan menyokong golongan tersebut sebaliknya mencatatkan rekod pembunuhan lebih tinggi terhadap golongan transgender
Katanya, dalam konteks Malaysia, banyak program-program telah diatur oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama kerajaan untuk membantu golongan transgender dan ia berjalan dengan baik tanpa mereka perlu berasa takut.
Menurutnya, program sedemkian antaranya melibatkan kumpulan seperti Pertubuhan Hijrah Republique, Pertubuhan Islah Movement, Pintas, Persatuan Insaf Pahang selain Muhajirah WAFIQ sendiri.
“Pendekatan kita ialah rekrut melalui sahabat-sahabat dengan transgender yang telah mengikuti program yang dianjurkan akan menghebahkannya dalam kalangan komuniti mereka.
“Tidak timbul soal takut kerana ancaman bunuh dikaitkan dengan program-program agama. Program Mukhayyam yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diadakan lebih dua kali setahun kecuali semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Beliau berkata, peserta program tersebut terdiri daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berusaha berhijrah secara sukarela.
Katanya, program menyantuni kelompok LGBT tidak bermaksud mengiktiraf perlakuan mereka sebaliknya mendekati mereka dengan dakwah serta secara berhikmah agar kembali kepada fitrah.
“Kebenarannya sudah ramai yang berhijrah dan memilih sendiri program yang ingin diikuti tanpa paksaan daripada sesiapa,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929