PETALING JAYA – Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM228 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (H1TK2022), 10 peratus lebih tinggi berbanding RM207.49 juta yang dicapai sepanjang tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan kekal stabil pada RM2.12 bilion, manakala perbelanjaan pengiklanan (Adex) melonjak 22 peratus tahun ke tahun kepada RM209 juta, berbanding pertumbuhan industri pada 11 peratus.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, keputusan H1TK2022 kekal berdaya tahan di sebalik penguatkuasaan fasa penutupan yang telah dilanjutkan sebelum ini.
“Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.
“Justeru, pihak Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim kedua bernilai 1.5 sen sesaham,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, lanjutan fasa penutupan dan peningkatan kos kandungan disebabkan penyiaran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan UEFA EURO 2020 telah memberi impak kepada keseluruhan keputusan PATAMI syarikat untuk suku kedua TK22.
“Tahun ini, Astro meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-25 dan kami akan terus kekal fokus dalam mengorak langkah kehadapan untuk merealisasikan pelan transformasi syarikat dan mencapai misi untuk menjadi pengagregat perkhidmatan penstriman nombor satu negara,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929