WASHINGTON – Sebuah unit angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan oleh bekas presiden, Donald Trump didakwa sedang diawasi oleh makhluk asing, lapor akhbar The Sun, semalam.
Dinamakan Angkatan Angkasa Lepas, unit itu ditugaskan untuk melindungi satelit AS yang mengelilingi Bumi. Namun, terdapat dakwaan objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ibu pejabatnya sekali gus menimbulkan dakwaan bahawa makhluk asing sedang memerhati manusia.
Pakar UFO, Jason Suraci merakam beberapa bebola aneh di ruang udara pangkalan Angkatan Angkasa Lepas Buckley di Aurora, Colorado.
Objek tersebut kelihatan berubah bentuk sementara yang lain mirip piring UFO yang dirakam oleh juruterbang Tentera Laut AS.
“Ini adalah piring terbang UFO yang saya lihat sebelum ia hilang di balik awan. Ia bukan dron, belon atau sejenis pesawat,” tegas Suraci.
Angkatan Angkasa yang pertama kali diwujudkan dalam tempoh lebih 70 tahun, berada di bawah kuasa Tentera Udara AS dan dilancarkan pada 2019. – Agensi