KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia, Kelantan mengesan terdapat segelintir golongan masyarakat di negeri ini yang masih degil apabila tetap menganjurkan aktiviti karaoke dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ini dapat dilihat apabila sebanyak tujuh daripada 17 kompaun ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan polis dalam tempoh dua minggu lalu melibatkan kesalahan menyertai aktiviti karaoke di pusat hiburan milik persendirian.
“Selain karaoke, polis turut mengeluarkan satu kompaun melibatkan penganjuran pertandingan burung candik baru-baru ini. Penganjuran itu melanggar SOP kerana ia melibatkan aktiviti secara berkumpulan.
“Sembilan lagi kompaun yang dikeluarkan adalah melibatkan merentas negeri tanpa surat kebenaran polis dan makan di restoran meskipun belum lengkap dos vaksin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Shafien, SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara ketika ini masih tidak membenarkan aktiviti berkumpulan dijalankan.
Ujarnya, penganjuran aktiviti berkumpulan perlu dielakkan ketika ini dalam usaha mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 meskipun pelbagai kelonggaran SOP telah diberikan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929