RAWANG – Taktik licik tiga penjenayah mencuri lori sebelum mengubah suai dan menjual dengan harga serendah RM7,000 berjaya ditumpaskan selepas ketiga-tiga mereka ditahan di sekitar Gombak pada Sabtu lalu.
Operasi Lejang Kasuarina itu telah dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Risik/Operasi/Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menerusi operasi tersebut, ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 39 hingga 41 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek pertama telah ditahan selepas menghentikan lori di tepi jalan sekitar Pulau Lumut, Shah Alam.
“Suspek yang berperanan sebagai pencuri lori itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek kedua ditahan berdasarkan maklumat suspek pertama di Rawang Industri. Suspek ini bertindak sebagai pembeli lori curi dari suspek pertama dan mempunyai empat kes rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Suspek ketiga yang mempunyai enam rekod jenayah ini pula ditahan di sekitar Taman Sri Indah, Selangor. Siasatan awal mendapati, suspek ini akan membantu suspek pertama dalam kegiatan mencuri lori,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi persembunyian sindiket ini di sekitar Rawang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, modus operandi sindiket ini ialah mencuri lori yang diparkir sebelum membuang alat penjejak sistem kedudukan global (GPS).
“Sindiket ini akan mengubah suai nombor casis dan enjin termasuk mengecat lori tersebut sebelum mencari pembeli.
“Mereka kemudiannya akan menjual dengan harga yang sangat murah serendah RM7,000 berbanding harga pasaran lebih RM70,000 untuk sebuah lori,” Jelasnya.
Katanya, polis turut merampas 15 buah lori curi, dua bongkah enjin dan sebuah forklif yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta.
Ahli sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang ini telah ditahan reman sehingga esok dan akan disambung reman bagi membantu siasatan serta mengesan saki-baki ahli kumpulan ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929