UMUM mengetahui situasi semasa pandemik Covid-19 tidak akan berakhir dengan mudah dan akan kekal dalam tempoh masa yang panjang atau mungkin untuk selama-lamanya.
Manusia harus menerima hakikat untuk hidup bersama Covid-19. Walaupun perit, kehidupan harus diteruskan demi melihat anak-anak tidak kelaparan.
Ramai rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik itu, malah jumlah kematian juga tinggi.
Virus ini tidak mengenal pangkat dan status, namun terdapat sesetengah individu merasakan kebal daripada Covid-19 enggan menerima suntikan vaksin.
Mungkin individu terbabit tidak pernah melihat petugas kesihatan bermati-matian menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 di hospital atau tidak pernah ‘menjengah’ tanah perkuburan yang saban hari ada sahaja terkorban akibat virus itu.
Terlalu banyak kesedaran, fakta dan bukti telah dihebahkan melalui pelbagai medium, namun sikap individu yang lebih mempercayai agenda mengarut di ‘Google’ menyebabkan mereka mudah percaya sekali gus terdedah dengan ancaman Covid-19.
Namun begitu, pandemik yang jangkitannya meluas dengan merentas sempadan negara lambat laun akan berubah ke arah endemik (sesuatu keadaan wabak yang sentiasa ada, iaitu sesuatu penyakit yang tidak boleh dihapuskan sepenuhnya) dan sejauh mana persediaan kita untuk menghadapi fasa tersebut pada masa hadapan.
Pada 1 September lalu, Kosmo! melaporkan, kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baharu supaya mudah difahami dan tidak merumitkan dalam mempraktikannya apabila fasa endemik dilaksanakan tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, kerajaan dan rakyat perlu menerima hakikat bahawa norma baharu menjadi sebahagian kehidupan baharu semua rakyat di negara ini.
Katanya, walaupun semua sudah divaksin, namun rutin kehidupan masyarakat perlu berubah bagi membolehkan lebih banyak sektor dapat dibuka, manakala kehidupan kembali seperti sedia kala.
“Biarpun langkah baharu akan diumumkan, tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) tiada perancangan melonggarkan pemakaian pelitup muka kerana berdasarkan pengalaman negara lain yang melonggarkannya terpaksa menguatkuasakannya semula susulan kemunculan varian baharu.
“Selain itu, kerajaan akan mengandakan usaha imunisasi dalam kalangan penduduk di negara ini bagi memastikan seramai mungkin yang mendapat vaksin dalam usaha mengurangkan risiko yang lebih teruk,” katanya.
Dijangka sebaik suntikan vaksin Covid-19 selesai pada Oktober ini, fasa endemik akan bermula yang mana seluruh rakyat malaysia harus menerima hakikat untuk hidup bersama virus Covid-19.
Secara amnya, cara terbaik untuk menghadapi fasa tersebut adalah dengan mematuhi dan memahami arahan yang ditetapkan KKM termasuk melakukan persiapan ‘kayuhan terakhir’ terhadap kesihatan mental kita sendiri.
Gagahkan diri walaupun sudah muak dan kepenatan demi melihat anak-anak serta ahli keluarga kita terus dapat melangkah pada masa hadapan.
Kehidupan kini tidak selamanya akan susah, pasti ada sinar di hujung yang menanti.