KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 1,048 kompaun berjumlah RM2.7 juta sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong, berkata, kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Beliau berkata, daerah Dungun paling banyak mencatatkan kesalahan dengan 473 kompaun dikeluarkan diikuti Kemaman (233) dan Setiu (80).
“Sebanyak 24 kompaun juga dikeluarkan sejak Terengganu memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 17 September lalu,” katanya ketika ditemui semasa meninjau hari pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Kasmani berkata, sebanyak 22 daripadanya adalah kesalahan membawa penumpang melebihi had di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Paka, Dungun.
Tambah beliau, gagal daftar MySejahtera dan ingkar kuarantin pula masing-masing melibatkan satu kesalahan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929