PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat membabitkan beberapa kawasan di lapan negeri, pagi ini.
“Ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di Perlis selain Yan, Pendang, Kuala Muda di Kedah manakala jangkaan hujan di Seberang Perai Utara di Pulau Pinang serta daerah Kerian dan Larut di Perak.
“Ribut petir serta hujan lebat turut diramal melanda daerah Melaka Tengah dan Jasin di Melaka selain di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ribut petir dan hujan lebat turut dijangka berlaku di daerah Daro, Dalat dan Mukah di Sarawak di samping Keningau dan Tambunan di Sabah.
Menurut MetMalaysia, tiada hujan diramal melanda negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan pada pagi ini. – K! ONLINE