PUTRAJAYA – Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa lokasi panas sekitar Putrajaya selain Kuala Lumpur kini dipantau Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aman.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di Facebook, penglibatan operasi unit berkenaan telah bermula pada 16 September lalu.
“Antara lokasi itu termasuklah taman-taman awam yang jelas dapat dilihat ada pertambahan luar biasa pengunjung susulan kelonggaran Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya hari ini.
Menurutnya, penggunaan dron dalam pemantauan udara yang dikendalikan unit itu juga mampu bertahan selama tidak kurang sejam dan boleh diterbangkan dalam radius sehingga lapan kilometer.
Selain itu, ujarnya, ia turut memiliki teknologi rakaman gambar serta membuat hebahan awam secara terus dari udara dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Tamil dan Mandarin. – K! ONLINE.