PUTRAJAYA – Seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM27,000.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman tersebut sehingga 25 September depan di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu pagi tadi.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, suspek yang bertugas di salah sebuah PBT itu telah mengemukakan tuntutan palsu berkaitan sewaan perkhidmatan lori menggunakan resit yang mengandungi butiran matan palsu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd. Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM bagi permohonan reman tersebut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929