KUALA LUMPUR – Selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan dalam kes pemalsuan dokumen melibatkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menutup kesnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu demikian kepada Hakim Azura Alwi selepas dua saksi pendakwaan dipanggil semula untuk memberi keterangan.
Terdahulu Wan Shaharuddin memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan Mohd. Yusizuddin Mohd. Yusof bagi saksi kepada pihak pembelaan.
Pada masa sama Hakim Azura turut memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan sebelum atau pada 8 Oktober manakala 18 Oktober hujahan balasan bagi pihak pembelaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan.
Hujahan itu adalah sebelum memutuskan sama ada Peter dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.
Sebelum ini, semasa prosiding perbicaraan berlangsung bermula April lalu, antara saksi-saksi pendakwaan nama-nama besar yang dipanggil memberi keterangan ialah, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Mengikut pertuduhan Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.
Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929