RAWANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiapkan dokumentasi sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa di Thailand bagi membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, PDRM sedang berkerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar untuk membolehkan proses membawa pulang Nur Sajjad berjalan lancar.
“Ia bertujuan memberi kuasa kepada PDRM bagi membolehkan Muhammad Sajjad dibawa pulang mengikut saluran undang-undang antarabangsa.
“Berdasarkan maklumat kita terima Muhammad Sajjad memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand bahawa dirinya adalah pelarian selepas memiliki kad Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya ketika sidang akhbar di Rawang di sini, hari ini.
Abd. Jalil turut menasihatkan Muhammad Sajjad supaya pulang secara baik bagi membolehkan pendakwaan kes yang sedang dihadapinya dapat diselesaikan.
“Kalau dia dengar berita ini, saya hendak menasihatkan bahawa ini bukan kes besar dan pulang secara baik bagi memudahkan kes pendakwaannya,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan, PDRM mengesahkan Nur Sajat ditangkap oleh pihak imigresen Thailand, pada pukul 6 petang 8 September lalu.
Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, usahawan kosmetik itu ditahan atas kesalahan memiliki pasport yang tidak sah.
“Pada 9 September lalu, Sajat telah dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan Imigresen dan dikenakan hukuman denda.
“Nur Sajat turut dikehendaki di Malaysia bersabit Seksyen, Repot: 345/2021 di bawah Seksyen 185 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” katanya. -K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929