DUNGUN – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki bersama dua lagi rakannya ketika pulang daripada menangkap ikan di perairan Kuala Dungun di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.55 tengah hari itu, bot gentian kaca dinaiki Mohd. Noor Mamat, 67, dan rakannya, Mohd. Ibrahim,63, bersama tekong, Mahadi Ibrahim, 56, dilambung ombak sewaktu memasuki muara Sungai Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa, Mohd. Noor dan rakannya Mohd. telah terjatuh dari bot tersebut yang telah dipukul ombak besar.
“Tekong bot yang berpatah balik, berjaya menyelamatkan Mohd. namun mangsa Mohd. Noor masih tidak dijumpai,” katanya ketika ditemui di pusat kawalan operasi di Kuala Dungun di sini hari ini.
Baharudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diaktifkan sebaik sahaja laporan diterima.
“Operasi hari ini disertai oleh 50 anggota dan pegawai polis, bomba, Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“SAR turut menumpukan kawasan pesisir pantai Kuala Dungun sehingga ke perairan Marang,” katanya.
Baharudin berkata, berdasarkan keadaan cuaca dan ombak lebih 0.5 meter, pihaknya percaya mangsa kemungkinan dihanyutkan ke pesisir pantai Marang. – K! ONLINE.