MISANO – Juara dunia 2020, Joan Mir menyifatkan peluangnya untuk mempertahankan gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim ini telah pun berakhir selepas bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik bersama Suzuki.
Pada perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino kelmarin, Mir gagal untuk menaiki podium selepas sekadar menamatkan saingan tempat keenam meskipun telah berusaha keras untuk mencari penamat tiga terbaik.
Bagaimanapun, tambahan 10 mata itu tidak cukup untuk membantunya ketika pendahulu kejuaraan MotoGP 2021, Fabio Quartararo (Yamaha) dilihat terus konsisten apabila menamatkan saingan tempat kedua di Litar Misano.
Meskipun Mir dilihat masih mempunyai peluang untuk memburu gelaran musim ini selepas hanya dipisahkan 67 mata dengan Quartararo, namun pelumba Sepanyol itu seakan-akan telah mengibar ‘bendera putih’.
“Apa yang saya dapat rasakan ketika ini adalah peluang untuk mempertahankan gelaran sudah pun berakhir. Kami tidak begitu kompetitif seperti yang diharapkan.
“Sebab itu saya sangat kecewa kerana saya mengharapkan perubahan besar terutama pada jentera. Sukar untuk saya katanya soal gelaran kerana sangat sukar untuk bersaing dengan pasukan lebih baik.
“Saya benar-benar kecewa kerana tahu potensi pada tahun ini. Saya mengurangkan kesilapan dan lebih baik jika dibandingkan musim lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Mir enggan mensia-sia empat baki perlumbaan musim ini dan bertekad untuk membantu pasukannya mengumpul data bagi mempersiapkan jentera lebih baik pada musim 2022 nanti.
“Sakarang, saya ingin memanfaatkan setiap pusingan perlumbaan dan mengumpul data bagi melakukan persiapan pada musim depan. Saya tidak kisah sekiranya gagal meraih mata sekali pun,” tegasnya. – AGENSI