LABUAN – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan paya bakau SK 33, Kampung Sungai Keling semalam.
Mayat dalam keadaan reput itu ditemui sekitar pukul 2.30 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat terbabit.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapat terdapat satu mayat dalam keadaan terapung dan mereput.
“Mayat berkenaam disyaki seorang lelaki berdasarkan rupa fizikal. Setakat ini, pihak polis mengklasifikasi kes sebagai laporan kes kematian mengejut (SDR) sehinggalah laporan bedah siasat diperolehi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai orang hilang dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil menyalurkan maklumat. -K! ONLINE.