KUALA SELANGOR – Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor terus meningkat kepada 101 orang
susulan pembukaan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS).
PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Jeram itu dibuka pada pukul 5.59 petang semalam dan menempatkan seramai 11 mangsa terbaharu.
Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, pemindahan itu melibatkan penduduk di Jalan Bahagia, Kampung Parit Mahang yang turut dilanda banjir.
“Semua mangsa daripada lima keluarga itu turut termasuk tiga kanak-kanak dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).
“Setakat ini, jumlah mangsa di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, masih kekal 90 orang melibatkan 27 buah keluarga yang ditempatkan di PPS SK Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau yang juga Seketariat Pengurusan Bencana daerah, pemantauan banjir turut dilakukan pihaknya di Kampung Tanjung Siam dan Kampung Kuantan.
“Ia susulan paras air yang dikatakan naik di dua kawasan berkenaan semalam. Namun, tiada PPS dibuka di kawasan tersebut setakat ini,” katanya.
Sebelum ini, hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu mengakibatkan 90 penduduk Kampung Rantau Panjang terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir setinggi satu meter. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929