KEHIDUPAN alam rumah tangga yang dinikmati pelakon dan pengacara tinggi lampai, Ain Edruce terlihat sangat bahagia.
Lebih membahagiakan apabila mahligai yang dibina diserikan lagi dengan kehadiran permata hati, Soraya yang kini berusia empat bulan sebagai pelengkap hidup Ain dan suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa.
Dalam gembira, Ain atau nama lengkapnya Nurulain Edruce, 30, bagaimanapun turut mengakui pengalaman bergelar seorang ibu bukanlah suatu tugas mudah seperti yang disangka.
Sekadar berkongsi pengalamannya pertama kali bergelar ibu, Ain mengaku penat sebenarnya untuk menguruskan seorang bayi.
Bahkan, dek kepenatan itu sedikit sebanyak turut mengganggu mentalnya untuk berkreativiti.
“Memang saya akui penat rupa-rupanya menjadi seorang ibu. Apa yang saya sedar, sebelum ini senang sahaja idea keluar untuk berkarya.
“Sekarang idea rasa susah nak keluar sebab mental rasa penat.
“Sebabnya masa rehat tidak cukup. Malam kena bangun susukan anak. Bila jadi begitu, memang ikhlas saya katakan dari segi kreativiti, memang rasa ‘tersekat’ sebab mental penat,” ujarnya.
Letih rupa-rupanya!
Berkongsi perkara tersebut dalam Instagram miliknya, Ain mengakui, mendapat banyak mesej daripada pengikutnya yang turut memberikan kata-kata nasihat dan motivasi.
Bahkan, rata-rata pengikut yang bergelar ibu turut mengakui perkara serupa semasa menguruskan anak kecil.
“Kurang tidur adalah satu perkara yang sangat menguji diri sendiri. Tapi selepas diberi beberapa tip berguna daripada pengikut saya, lama kelamaan saya sudah terbiasa.
“Untuk mengatasi masalah tidak cukup rehat, apa yang saya buat adalah, bila anak tidur, tidurlah sekali dengan dia.
“Jangan pula bila anak tidur, waktu itulah kita sibuk nak tengok Facebook dan bermain permainan video,” jelas Ain.
Dalam pada itu, Ain tidak menolak jika terlalu letih, dia akan bergilir-gilir menjaga Soraya dengan suaminya.
Disebabkan perkongsian keluhan sedemikian dalam media sosial, Ain tidak terkecuali daripada ditegur netizen. Bahkan terdapat juga yang membandingkan apalah sangat keletihan menjaga seorang anak berbanding ibu-ibu lain yang anak ramai.
“Komen-komen netizen biasalah. Tapi saya cuma mengiyakan sahaja sebab saya percaya mereka pun sebenarnya melalui pengalaman serupa dengan apa yang saya rasa,” kata Ain.
Pembantu? Nantilah!
Biarpun penat, Ain masih enggan untuk mengambil pembantu yang boleh meringankan bebannya sebagai ibu dan pada masa bergelar wanita bekerjaya.
Ujar Ain, pada ketika ini dia masih tidak memerlukan pembantu kerana beban kerjanya tidaklah terlalu banyak berbanding sebelum ini.
“Kerja pun tidak banyak. Lagi pun saya mahu jaga anak saya sendiri selagi saya mampu. Tetapi saya tidak boleh beri jaminan sebab kerajaan pun sudah membenarkan sektor industri kreatif kembali dibuka.
“Kalau saya kembali sibuk, mahu atau tidak saya tetap kena cari pembantu. Kalau tidak nanti saya yang susah,” katanya.
Namun, urusan untuk mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk menguruskan anak bukanlah suatu hal yang mudah.
Sama seperti ibu-ibu yang lain, Ain juga berdepan dengan perasaan was-was, namun dia tidak boleh terlalu bersikap paranoid dan perlu meletakkan kepercayaan kepada pembantu yang boleh menguruskan anaknya.
“Ini anak pertama. Jadi harapan saya tinggi. Kalau boleh nak cari pembantu yang ada pengalaman.
“Tidak kisah sama ada orang tempatan mahupun pembantu warga asing,” katanya.
Menyentuh tentang perkembangan kariernya, pelakon drama Siti Selfie itu belum bersedia mengambil mana-mana tawaran kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada anak.
Beruntung
Ujar Ain, berlakon memerlukan komitmen yang agak panjang dan perlu berada di luar rumah dalam tempoh lama untuk menjalani penggambaran.
“Seorang selebriti senior, Ifa Raziah sebelum ini ada nasihatkan saya supaya tidak terlalu ‘mengejar dunia’.
“Apabila sudah ada anak, utamakan keluarga dahulu. Fokus kepada anak sebab kita tidak sedar, tahu-tahu anak sudah besar,” katanya.
Untuk itu, Ain cuba untuk menerima hanya tawaran menjadi pengacara kerana waktu kerja yang lebih singkat berbanding lakonan.
Dalam pada itu, Ain turut memanjatkan rasa syukur apabila sektor industri kreatif sudah dibenarkan untuk beroperasi semula oleh kerajaan.
Namun, pada masa sama, wanita bersuara serak-serak basah itu mengingatkan penggiat industri supaya tidak terlalu leka dan sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kalau ikutkan saya memang paranoid untuk keluar bekerja. Tapi nak buat bagaimana lagi?
“Setiap kali keluar dan pulang ke rumah, saya akan terus mandi sebelum berjumpa Soraya. Risau juga sebenarnya,” ujar Ain.
Tegas Ain lagi, dia masih perlu bekerja kerana tidak mahu mengharapkan duit daripada suaminya walaupun ramai yang berpendapat bahawa dirinya sudah hidup senang-lenang kerana bersuamikan ‘lelaki berduit’.
“Memang ada kata saya beruntung sebab bersuamikan lelaki yang ada duit. Bila orang komen begitu, orang tidak tahu sebenarnya saya juga perlu bekerja.
“Bukan apa, duit suami adalah duit dia. Saya pun nak pakai duit saya sendiri. Tapi saya beruntung sebab suami masih jalankan tanggungjawabnya memberi saya nafkah dan membayar komitmen bulanan.
“Tapi untuk belanja barangan keperluan saya sendiri, saya akan guna duit saya. Biasalah, mulut orang kita tidak boleh tutup,” katanya.