PENDANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam sawah di Kampung Kuala Rimau di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia lingkungan 30 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap bersama motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 3.49 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sawah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kemudian dibawa keluar dari sawah oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk ujian saringan Covid-19 sebelum proses selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE