PETALING JAYA – Pelakon Izreen Azminda telah selamat melahirkan anak ketiganya, seorang bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada pukul 9.06 pagi tadi.
Bayi seberat 2.87 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan caesarean sama seperti kelahiran dua anaknya sebelum ini.
Berita gembira tersebut dikongsi, Izreen menerusi Instagramnya sebentar tadi dengan memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan sebahagian wajah anaknya.
“Syukur alhamdulillah, lahirlah seorang lagi putera dalam keluarga kecil kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan mama dan baby,” tulis Izreen.
Menurut Izreen, dia dan bayi berada dalam keadaan sihat.
“Semuanya berjalan dengan lancar. Bersalin secara pembedahan buat kali ketiga agak sakit buat saya, namun apa yang penting saya dan anak berada dalam keadaan stabil,” kata Izreen ketika dihubungi Kosmo!
Dalam pada itu, Izreen memilih untuk memberitahu nama anaknya pada hari ketujuh selepas kelahiran.
“Saya bimbang penyakit ain, jadi lebih baik berhati-hati. Namanya saya akan beritahu selepas seminggu kelahiran, manakala wajahnya bergantung kepada keadaan mungkin selepas habis pantang,” ujar Izreen.
Izreen, 36, yang popular menerusi drama Tanggang Ayu itu akan berpantang di kediamannya di Kuala Lumpur .
Bayi yang baru dilahirkan ini merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup bersama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau dikenali sebagai Ude yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.
Hasil perkongsian hidup bersama Ude, Izreen dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun.
Pelakon kelahiran Perlis itu turut memiliki seorang anak lelaki sulung, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharudin.
Terdahulu Izreen pernah meluahkan kebimbangannya hamil dan melahirkan anak dalam musim pandemik Covid-19.
Justeru, Izreen mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendisiplinkan dirinya tidak keluar rumah kecuali ke hospital untuk melakukan pemeriksaan bulanan. – K! ONLINE