PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan purata harga ayam nasional yang dicapai ketika ini iaitu sekitar RM8.79 sekilogram.
Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, harga purata itu diperolehi berdasarkan pemeriksaan dilakukan di 600 premis di seluruh negara hari ini.
Beliau berkata, harga itu lebih baik berbanding sekitar RM11 hingga RM11.50 yang direkodkan dua minggu lalu.
“Daripada pemeriksaan itu, 11 premis dikesan masih menjual pada harga RM10 ke atas; 147 premis (RM9.50 ke atas); 339 premis (RM9.50 ke bawah) dan 103 premis (RM8 ke bawah).
“Ini menunjukkan trend penurunan harga lebih baik berbanding minggu sebelumnya,” katanya ketika ditemui pada Ops Samar membabitkan beberapa buah restoran di sini hari ini.
Azman berkata, penurunan harga ini adalah hasil usaha berterusan pasukan penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara termasuk kerjasama rapat antara pihak penternak, pemborong dan peruncit.
Menurutnya, pihaknya juga memuji tindakan segelintir peniaga yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengurangkan margin keuntungan mereka dengan menawarkan harga ayam lebih rendah. -K! ONLINE.