SHAH ALAM – Taktik lapuk pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dalam tandas dan keluar melalui tingkap bilik untuk meloloskan diri gagal apabila dicekup pihak berkuasa di sekitar Seri Kembangan dan Cheras di sini, semalam.
Perkara itu dihidu Jabatan Imigresen Selangor yang menggempur beberapa kediaman dan premis perniagaan yang didiami warga asing dalam serbuan lebih lima lima jam bermula pukul 12 tengah hari.
Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi hasil maklumat mengenai kewujudan warga asing di kawasan tersebut dengan menahan sembilan PATI berusia 22 hingga 43 tahun.
Katanya, pemeriksaan memfokuskan kepada premis perniagaan termasuk kedai makan dan pakaian, dobi serta pasaraya besar.
“Penahanan sembilan PATi itu melibatkan empat warga Indonesia, Myanmar (3) dan masing-masing satu warga Pakistan dan Bangladesh menerusi pemeriksaan 27 warga asing.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen negeri untuk tindakan lanjut sebelum direman 14 hari di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” ujarnya.
Mohamad Shukri menegaskan, pihaknya turut akan mengesan pemilik rumah, premis perniagaan dan pelindung kepada PATI berkenaan dengan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah sekiranya terbukti melakukan kesalahan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929