JITRA – Seorang lelaki yang menetak jirannya sehingga hampir putus pergelangan tangan dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelubi Dalam di sini semalam didapati berada di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, hasil ujian urin yang dilakukan mendapati lelaki berusia 29 tahun itu positif dadah jenis syabu.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rodzi berkata, lelaki yang hampir putus pergelangan tangan kiri kini stabil dengan bahagian tangannya telah disambung semula dalam pembedahan.
“Siasatan mendapati dua lelaki ini tidak berpuas hati antara satu sama lain sebelum berlaku pergaduhan yang mana salah seorang daripada mereka berada di bawah pengaruh dadah.
“Mangsa yang dirawat di hospital akan ditahan setelah pulih manakala suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun cedera parah apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak jirannya berusia 29 tahun dalam pergaduhan menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelubi Dalam kira-kira pukul 2 petang.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929