IPOH – Sebanyak 43 lokasi yang sering dilanda banjir di negeri ini dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, bermula November ini hingga Mac tahun hadapan.
Antaranya 11 kawasan di Kerian, Larut Matang Selama (10), Batang Padang (7), Hilir Perak (4), Kinta (3), Perak Tengah (3), Manjung (3), Hulu Perak (1) dan Muallim (1).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya turut
berkolaborasi dengan agensi lain misalnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti lokasi sering berlaku banjir dan paras bacaan air sungai manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula untuk mengetahui taburan hujan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kita juga telah mengarah ketua-ketua balai untuk mengenal pasti sungai-sungai dan parit kecil yang akan menyebabkan kejadian banjir.
“Bagi keanggotaan kita ada seramai 1,140 pegawai dan anggota dengan dibantu 1,319 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan 170 anggota bomba bantuan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini hari ini.
Aspek logistik pula, sebanyak 61 buah bot, 14 kenderaan berat dan 151 aset logistik berada dalam keadaan baik dan bersedia digerakkan untuk operasi pada bila-bila masa.
Peralatan komunikasi juga telah dikemaskini dan diselenggara dengan baik dalam melancarkan operasi menyelamat selain lokasi pusat pemindahan sementara di seluruh negeri.
Tambah beliau, beberapa lokasi berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh pada musim hujan ketika ini turut dipantau sekali gus mengesan sebarang punca yang boleh mengundang tragedi.
Katanya, antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Jalan Gerik-Jeli dan kawasan lereng-lereng bukit.
“Kita telah mengenalpasti beberapa tempat berisiko berlakunya runtuhan tanah bagi memudahkan tindakan menyelamat.
“Kita mempunyai 50 pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), pasukan elit yang akan bertindak dalam kejadian seperti ini,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, satu pasukan bantuan terdiri daripada 30 hingga 40 pegawai dan anggota dibentuk untuk membantu negeri-negeri yang dilanda bencana serius. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929