PENYANYI Ailee tidak berdalih tentang banyak kesukaran yang dilaluinya disebabkan sikap netizen yang gemar mengkritik penampilan, terutama bentuk dan berat badannya.
Perkara demikian diluahkan penyanyi yang terkenal dengan jolokan Beyonce Korea itu ketika muncul dalam program Oh Eun-young’s Counseling Center.
Kata Ailee, dia kerap mengalami ‘stage fright’ atau ketakutan berada di atas pentas setiap kali sebelum membuat persembahan. Dia tertekan untuk berhadapan dengan orang ramai.
“Kalau saya naikkan berat badan sebab netizen kata saya terlalu kurus, tetapi nanti mereka cakap saya gemuk.
“Saya kekalkan berat badan yang sama selama empat tahun, tetapi apabila sedikit berisi, terus mereka kata berat badan saya naik. Kalau muka saya nampak runcing, mereka kata saya berjaya turunkan berat badan,” ceritanya.
Akibat dihantui hal-hal sebegitu, Ailee mula berubah sikap dan terfikir, adakah dirinya sangat memalukan.
“Sebab itu saya turunkan berat badan. Dalam masa sebulan saya berjaya turunkan sebanyak 10 kilogram,” ujarnya.