PETALING JAYA – Belum reda kisah kedai ayam goreng dipecah masuk, Nabila Razali sekali lagi diduga apabila akaun YouTubenya digodam.
Perkara duka tersebut dikongsi pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd. Razali itu dalam beberapa perkongsian InstaStorynya.
“Ya Allah SWT, akaun YouTube Nabila Razali Entertainment kena godam.
“Hati saya hancur. Pasukan saya sedang berbincang dengan pihak YouTube untuk menyelesaikan masalah ini,” ujar pelantun lagu Pematah Hati itu.
Masih menyimpan harapan, pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi itu berdoa agar akaun yang telah digodam itu diperoleh semula.
“Semoga saya dapat semula akaun YouTube tersebut. Tolong doakan untuk saya,” katanya lagi.
Difahamkan, saluran terbabit baru dilancarkan setahun lebih dan sudah memiliki lebih 390,000 pengikut.
Sementara itu, menurut pengurusnya, Mohd. Asrul Abdul Talib, akaun tersebut telah dipadam oleh YouTube.
Katanya, pihaknya mula mengetahui kejadian tersebut selepas seorang individu membuat ciapan mengenai akaun YouTube itu yang ‘hilang’ dari radar.
“Ketika memeriksa akaun tersebut, rupa-rupanya sudah dipadam dari YouTube. Menerusi emel kami terima, saluran tersebut didakwa telah melanggar polisi kerana menyiarkan kandungan tertentu.
“Sayanglah jika hilang begitu saja kerana video muzik Peluang Kedua yang sudah ditonton lebih 33 juta dalam saluran itu. Lagi pula, usia akaun tersebut baru saja setahun,” ujarnya lagi.
Tambahnya, pihak mereka kini dalam proses berunding dengan pihak YouTube terbabit dengan pihak YouTube dan berharap dapat berjaya mendapatkannya semula.
“Sekarang pasukan kami sedang berusaha untuk mendapatkannya. Kami berdoa akaun tersebut dapat dikembalikan.
“Memang sedih jika terpaksa buat saluran baharu,” katanya lagi. – K! ONLINE