PUTRAJAYA – Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada yang sedang beroperasi di seluruh negara akan digunakan bagi program pemberian suntikan vaksin kepada pelajar sekolah.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, senarai penuh PPV yang membabitkan beberapa buah negeri berkenaan akan diumumkan esok.
Menurutnya, menerusi inisiatif itu, golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun boleh menerima suntikan vaksin secara jumpa terus atau ‘walk-in’ di PPV berkenaan.
“Kaedah jumpa terus itu adalah antara dua cara diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi golongan remaja selain secara jangkau luar di sekolah.
“Bagi kaedah jangkau luar, sebagai contoh, SMK Putrajaya 8 (1) akan menjadi PPV sementara yang akan digunakan pada hari pemberian vaksin sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Kick-Off Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini. Hadir sama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Ditanya sama ada kerajaan akan membuat perolehan baharu vaksin bagi memenuhi keperluan PICK Remaja, Khairy Jamaluddin berkata, buat masa ini, kerajaan mempunyai cukup bekalan bagi program itu.
“Bahkan, ia juga mencukupi bagi bekalan permulaan bagi suntikan dos penggalak vaksin,” katanya yang turut memberitahu, perincian penuh mengenai program suntikan dos penggalak itu akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929