JOHOR BAHRU – Polis Johor akan melupuskan sebanyak 1,765 kilogram (kg) dan 3,717 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM28.91 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua dadah yang dilupuskan itu merupakan barang rampasan bagi 17,535 kes yang direkodkan di antara 2000 sehingga tahun lalu.
Katanya, antara dadah yang dilupuskan itu ialah heroin sebanyak 191.3kg, kanabis (84.7kg), ketamin (24.5kg) dan methamphetamine (92.3kg).
Turut dilupuskan ialah methylenedioxy methamphetamine (48.3kg) dan pelbagai jenis dadah lain (1.32 tan).
“Pada tahun lalu, JSJN Johor telah melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 877.4kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta melibatkan 3,844 kes yang selesai.
“Pada hari ini, JSJN Johor sekali lagi akan melupuskan pelbagai jenis dadah sebanyak 1.765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Tambahnya, semua dadah dirampas akan dilupus dan dimusnahkan mengikut prosedur pelupusan barang kes yang ditetapkan.
Kesemua barang kes itu akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah pelupusan secara insinerator (bakar).
Dalam pada itu, katanya, bermula 1 Januari hingga 13 September lalu, JSJN Johor sudah menahan seramai 9,313 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama sudah membuat rampasan dadah sebanyak 10.91 tan.
“Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM352.44 juta, turut disita adalah harta bernilai RM27.86 juta,” katanya.-K! ONLINE
q
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929