JOHOR BAHRU – Seorang pembantu operasi sebuah hospital kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdaya dengan melakukan tuntutan palsu melibatkan jumlah RM7,050 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Zuraiha Zakri, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan keempat-empat kertas pertuduhan itu, wanita berkenaan yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Gred N11 di Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu HSA berkaitan dokumen pesanan penghantaran (delivery order) atas nama sebuah syarikat.
Perkara itu berhubung penyediaan makanan dan minuman bagi pelaksanaan tiga program di hospital itu yang mana ia tidak dibekalkan seperti dalam dokumen berkenaan dipercayai untuk mengelirukan pihak hospital.
Bagi kesalahan yang dilakukan antara Julai hingga Ogos 2018 itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan berkenaan tidak memperuntukkan jaminan, namun pihaknya mencadangkan ikat jamin RM20,000 sekiranya dibenarkan mahkamah.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Salleh Tugimin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya yang masih bertugas dalam pusat yang sama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan mempunyai seorang anak berusia lima tahun.
Katanya, suami tertuduh hanya bekerja sebagai kerani selain mereka turut menanggung ibu bapanya yang sudah tua dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober depan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kota Bharu, Kelantan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929