SEJAK kerajaan membenarkan penduduk Lembah Klang yang lengkap vaksinasi merentas daerah mulai Jumaat lalu, beberapa tempat pelancongan dan peranginan di Selangor diserbu orang ramai yang sudah lama terkurung.
Kebenaran itu melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Sejak Jumaat lalu, jalan raya di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain sesak dengan kenderaan seolah-olah menyambut satu pesta besar yang perlu diraikan tanpa menghiraukan Covid-19 yang masih berleluasa.
Keadaan menjadi lebih tidak terkawal pada hujung minggu apabila beberapa pantai peranginan di Selangor seperti Pantai Remis, Jeram di Kuala Selangor, Pantai Bagan Lalang, Sepang dan Pantai Morib, Banting sesak teruk dengan pengunjung.
Apa yang membimbangkan, orang ramai tanpa rasa takut membawa sekali anak-anak kecil untuk mandi-manda selepas lebih sembilan bulan terkurung di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih parah apabila beberapa video yang tular menunjukkan kebanyakan orang tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti tiada penjarakan fizikal antara pengunjung seolah-olah suasana seperti sebelum pandemik.
Penulis turut mengambil peluang cuti hujung minggu untuk beriadah bersama keluarga dengan melakukan aktiviti mendaki Bukit Jugra, Banting.
Mujur kawasan pendakian tidak sesak dengan orang ramai seperti di kawasan pantai. Rasa selamat sikit.
Selepas itu rasa teringin untuk ke Pantai Morib memandangkan lokasinya tidak jauh dari Jugra, tetapi dimaklumkan oleh seorang rakan agar membatalkan sahaja niat tersebut.
Dia baru sahaja berpatah balik ketika berada beberapa kilometer dari pantai tersebut dan memaklumkan kesesakan di kawasan berkenaan amat luar biasa seolah-olah orang ramai ingin membalas dendam selepas sekian lama terperap di rumah.
Kata rakan itu lagi, dia rasa keadaan itu seperti negara ini sudah bebas daripada ancaman pandemik Covid-19 sedangkan hakikatnya kes positif harian masih tinggi.
Mungkin disebabkan perasaan teruja untuk bercuti begitu tinggi, orang ramai terlupa bahawa kita masih belum menang menentang pandemik yang sehingga kini masih membimbangkan.
Kita tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan kealpaan diri kita sendiri yang melihat perkara ini remeh selepas merentas daerah sudah dibenarkan kerajaan.
Apa yang perlu dibuat cuma lebih berwaspada dan tidak singgah di tempat yang sesak untuk melakukan riadah bersama keluarga.
Kita masih belum menang, jadi jagalah peluang ini dengan menjaga diri dan keluarga kita.