IPOH – Sebelum ini, Choong Yat Han berkeras enggan disuntik vaksin Covid-19 kerana merasakan tidak perlu selain mengganggap usianya terlalu lanjut.
Bagaimanapun, pujukan demi pujukan anak cucunya sejak lima bulan lalu berakhir apabila dia berubah fikiran.
Nenek berusia 101 tahun yang tinggal di Buntong dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Meru Valley Resort hari ini ditemani anak lelakinya untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.
Menurut Yat Han, anak dan cucunya tidak pernah jemu memujuk, malah mereka sentiasa mengingatkan mengenai bahaya Covid-19.
Katanya, dia yang merasakan tidak memerlukan sebarang suntikan imunisasi ekoran sudah tua lembut hati setelah melihat kesungguhan keluarga dalam memastikan kesihatan dan keselamatannya terjaga.
“Saya sudah tua sebab itu saya rasa tidak perlu lagi vaksin, tetapi anak dan cucu ada beritahu jika tidak disuntik, saya tidak boleh keluar rumah atau ke mana-mana.
“Mereka kata perlu ambil vaksin sebab tidak mahu saya sakit, lagipun vaksin boleh lindung semua. Sebab itu saya setuju untuk disuntik, lagipun tidak sakit pun dicucuk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, anak lelaki Yat Han, Chan Ho Han, 72, berkata, pendaftaran ibunya melalui MySejahtera dibuat sebaik sahaja wanita itu bersetuju untuk divaksin minggu lalu.
Katanya, mereka sekeluarga berasa lega dan gembira kerana wanita itu akhirnya berjaya disuntik vaksin Covid-19 hari ini.
“Sejak April lalu kami pujuk dia, tapi emak memang berkeras tidak mahu disuntik dan menolak mentah-mentah cadangan kami.
“Mungkin selepas kami beritahu penyakit sekarang sudah makin teruk dan hanya orang sudah divaksin boleh keluar rumah dan makan di restoran, barulah dia lembut hati dan bersetuju,” katanya yang memberitahu ibunya tidak mempunyai masalah kesihatan.
Dalam pada itu, Pengarah Meru Valley Resort, Datuk Lim Si Boon berkata, sejak PPV itu beroperasi Ogos lalu, kira-kira 10,000 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929