ISKANDAR PUTERI – Seorang penunggang motosikal lelaki warga asing maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki rakyat tempatan di Jalan Kangkar Pulai, Iskandar Puteri semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.45 petang.
Katanya, pada masa kejadian keadaan permukaan jalan adalah basah dan licin kerana hujan.
“Kemalangan berlaku apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang memandu kereta dari Ulu Choh menuju ke Pekan Kangkar Pulai telah bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa semasa hendak membelok di selekoh.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, patah tangan kanan serta paha kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929