fbpx

Mahkamah tolak rayuan Deepak, dua yang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, J.R. Deepak Jaikishan dan dua yang lain gagal di Mahkamah Rayuan hari ini untuk menghidupkan saman yang dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Deepak dan adiknya J. Rajesh serta Carpet Raya Sdn. Bhd. memfailkan saman terhadap ketiga-tiganya pada 2018 berhubung cukai yang dikenakan terhadap mereka selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan suami isteri itu.

Perkara tersebut ditentukan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah sebulat suara menolak rayuan itu dan memerintahkan mereka membayar kos RM10,000 kepada Najib dan Rosmah, manakala RM10,000 lagi kepada Abdul Azeez.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S. Nantha Balan berpuas hati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul ketika membatalkan tuntutan saman tersebut.

Panel itu berpendapat, rayuan ahli perniagaan tersebut tiada merit kerana pernyataan tuntutan jelas tidak dapat dikekalkan dan akan gagal jika perbicaraan diteruskan.

Dalam prosiding rayuan yang dijalankan secara dalam talian, peguam Daniel Annamalai mewakili perayu-perayu manakala David Mathews mewakili Najib serta Rosmah dan Datuk Prem Ramchandran mewakili Abdul Azeez.

Deepak merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Julai tahun lalu yang membatalkan tuntutan samannya terhadap bekas Perdana Menteri, isteri dan Abdul Azeez berhubung cukai yang dikenakan selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Abdul Azeez setelah berpuas hati kes plaintif jelas tidak dapat dikekalkan.

Beliau berpendapat, pernyataan tuntutan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah yang merupakan elemen penting untuk menyokong tuntutan konspirasi merosak, misfeasans dalam kedudukan awam dan perlanggaran tugas.

Terdahulu, dalam saman yang difailkan pada 15 November 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan Carpet Raya bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan oleh pasangan itu.

Beliau juga mendakwa defendan ketiga (Abdul Azeez) turut bertindak sebagai ejen untuk Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta bertindak sebagai perantara antara pasangan dan plaintif kedua, Carpet Raya.

Deepak mendakwa, hasil transaksi itu, beliau menerima surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan terhadap Carpet Raya dan cukai pendapatannya berjumlah lebih RM6 juta tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Deepak mendakwa dia menerima surat berkenaan selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada 2012 berikutan keengganannya untuk mematuhi arahan mereka dalam kes sivil yang membabitkan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI