TUARAN – Pasukan bomba dan penyelamat daerah Tuaran giat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Giling sejak 11 September lalu.
Mangsa, Tuin Lohohan, 32, difahamkan tidak pulang ke rumahnya selepas masuk ke hutan pada hari kejadian kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.22 tengah hari ini.
“Seramai tiga anggota termasuklah unit anjing pengesan (K9) diarahkan ke lokasi kejadian bersama satu kenderaan utiliti pacuan empat roda.
“Anggota bertugas mencari mangsa di sekitar laluan masuk ke hutan dan tiada sebarang petunjuk boleh dikaitkan dengan mangsa setakat ini.
“Tujuan mangsa masuk ke dalam hutan pada hari kejadian juga tidak diketahui anggota keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, operasi SAR bagi mengesan mangsa terpaksa ditangguhkan pada pukul 4.34 petang dan bakal disambung semula pada hari esok kira-kira pukul 7 pagi. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929