SUNGAI PETANI – Seorang pembuat keranda menerima tempahan lebih 2,000 buah peti mayat tersebut untuk kes-kes melibatkan jenazah Covid-19 di negeri ini sejak Januari lalu.
Ahmad Ali, 62, dari Taman Desa Aman, Sungai Lalang di sini, memberitahu, tempahan keranda yang paling banyak diterima pada Ogos lalu iaitu sebanyak 556 buah.
Menurutnya, keranda yang ditempah itu dihantar ke hospital dan masjid apabila terdapat kematian akibat Covid-19.
Katanya, keranda yang ditempah untuk jenazah pesakit Covid-19 terpaksa dibuat mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan dijual pada harga RM170 sebuah.
“Seramai enam daripada 10 orang anak saya turut membantu menyiapkan keranda apabila mendapat tempahan banyak.
“Dua anak perempuan saya yang berusia 26 dan 29 tahun turut membantu saya untuk menyiapkan tempahan dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, di sini semalam.
Ujarnya, dia perlu menyiapkan lebih 15 buah keranda setiap hari untuk menampung permintaan termasuk dari luar Sungai Petani.
“Pada musim pandemik Covid-19 ini saya meraih pendapatan yang agak tinggi berbanding sebelum wabak itu menular di negara ini,” ujarnya.
Menurutnya, dia mula membuat keranda secara kecil-kecilan sejak awal tahun 2016 untuk mengisi masa lapang dan menampung perbelanjaan keluarga selepas bersara sebagai kakitangan di
Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani pada Disember 2015.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan keranda yang saya buat dari tahun 2016 hingga sekarang lebih 12,000 buah,” ujarnya.