fbpx

Kerakusan manusia punca patin muncung pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan patin muncung terakhir yang berjaya ditangkap oleh seorang nelayan Mat Piah di Sungai Pahang sekitar 2015.
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

HENDAK emas, musang king, ikan sungai, gunung, air terjun, hutan rimba, apa sahaja ada tersedia di negeri Pahang yang kaya dengan flora dan fauna.

Dari daratan, lautan dan sungai, negeri dengan jolokan Tok Gajah ini mempunyai khaza­nah berharga termasuklah hasil mi­neral seperti emas dan bauksit.

Sungai Pahang sepanjang 459 kilometer merupakan sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang menyimpan khazanah berharga khususnya ikan sungai bermutu tinggi yang tidak ada di tempat lain.

Ikan patin merupakan antara penghuni Sungai Pahang yang paling berharga dan menjadi sebutan orang luar yang bertandang ke negeri ini terutamanya di daerah yang terletak berhampiran Sungai Pahang khususnya Temerloh yang turut dikenali bandar ikan patin.

Terdapat empat spesies patin liar sungai Pahang iaitu patin muncung, patin buah, patin juara dan patin seumpama juara.

Patin muncung mempunyai penawaran harga paling tinggi iaitu RM450 sekilogram, diikuti patin buah pada harga RM160 sekilogram.

Namun, ketika keasyikan dibuai keenakan masakan patin Pahang yang kini boleh didapati di mana sahaja, tanpa disedari patin muncung yang merupakan patin liar yang mempunyai rasa yang enak sudah lenyap dan tidak lagi dapat ditemui atau mungkin sudah pupus di Sungai Pahang.

Sudah tujuh tahun nelayan darat di sekitar Sungai Pahang tidak dapat menangkap ikan itu, menyaksikan generasi baharu tidak akan lagi dapat melihat apa­tah lagi merasa keenakan ikan bernilai tinggi itu.Dimana silapnya?

Mungkin kerana etak yang menjadi makanan utama ikan berkenaan diangkut berlori-lori ketika musim kemarau untuk dijual menyebabkan makanan utama ikan berkenaan lenyap dan memberi kesan langsung kepada hidupan air itu.

Mungkinkah kerana kewujudan pam-pam pasir, mungkin kaedah penangkapan berlelua­sa, mungkin juga kualiti air yang tercemar dan mungkin juga tiada tindakan tuntas daripada mana-mana pihak dan pelbagai lagi kemungkinan.

Apa pun kemungkinan, hakikatnya kini patin muncung sudah hampir tiada, kemungkinan besar sudah pupus akibat daripada tangan-tangan manusia.

Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, usaha menambah populasi ikan ini sukar dijalankan memandangkan kesukaran mendapatkan induk ikan selain spesies ini yang amat sensitif kepada perubahan persekitaran.

Bagaimanapun, kataya, antara usaha jabatan perikanan pada masa ini adalah dengan menawarkan harga yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang dapat menangkap ikan berkenaan.

Namun, sehingga kini tiada sesiapa yang berjaya membawa ikan itu sama ada hidup atau mati. Hakikatnya kemungkinan besar patin muncung sudah pupus. Apa yang berlaku tidak dapat diubah dan perlu dijadikan pengajaran.

Ada banyak lagi khazanah berharga di sungai dan daratan ne­geri Pahang. Jagalah ia, pelihara dan pulihara, jangan biarkan ia mengikut jejak patin muncung yang semakin pupus tanda di­sedari dan dipeduli.

Patin muncung sudah memberi isyarat merah, jangan nanti satu persatu warisan negeri pupus dan tinggal nama, sama-sama kita tunggu apa tindakan mereka seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI