PASIR MAS – Kerajaan negeri sedia membangunkan konsep pertanian digital dalam usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran sumber makanan di negeri ini pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, konsep itu merangkumi pengembangan pertanian dengan menggunakan kaedah terkini iaitu fertigasi dan menambah baik aspek pemasaran yang dilihat mampu memberi pulangan lebih baik kepada golongan petani.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) telah bekerjasama dengan
Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Selangor untuk memulakan konsep pertanian digital di negeri ini.
“Melalui kerjasama ini, PPK Kuala Langat akan berkongsi kepakaran dari segi pemasaran dan perkongsian teknologi yang digunakan dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.
“Sebagai permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 dalam perkongsian projek yang dilaksanakan antara KPKB dengan PPK Kuala Langat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (Kitabina), Meranti di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu memberitahu, pihaknya akan mengemukakan peruntukan yang lebih besar dalam usaha memajukan sektor pertanian di negeri ini untuk bajet tahun hadapan.
Katanya, pandemik Covid-19 yang menyerang negara sejak Mac tahun lalu menyaksikan ramai rakyat menjadikan pertanian sebagai punca utama dalam menjana pendapatan.
“Ini berikutan ramai yang kehilangan pekerjaan dan menjadikan pertanian untuk meneruskan kehidupan. Kerajaan negeri akan terus komited dalam membantu golongan ini dalam usaha merancakkan industri pertanian di Kelantan,” ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929