JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yakin Johor bakal beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam waktu terdekat.
Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan ringkas yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi miliknya hari ini.
“Johor akan beralih ke Fasa 2 PPN tidak lama lagi.
“Selepas perbincangan saya dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Special Task Force Covid-19 Johor dan juga Menteri Kesihatan, saya yakin perkara ini akan diumumkan tidak lama lagi,” titahnya.
Pada 9 September lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini dalam memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya.
“Tumpuan kerajaan negeri dalam usaha beralih ke fasa seterusnya adalah untuk memastikan supaya kemudahan kesihatan mencukupi dalam apa keadaan sekalipun.
“Kita tahu kes terus meningkat di Johor dan ia banyak disumbangkan kluster industri kerana sektor berkenaan banyak menjalankan ujian setiap dua minggu sekali selain ujian di lapangan.
“Oleh itu, Johor perlu memastikan apabila beralih ke Fasa 2 PPN kita mempunyai kemudahan yang lengkap khususnya untuk merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hasni memberitahu, pihaknya tetap komited untuk memastikan Johor beralih memasuki Fasa 2 dalam keadaan lebih bersedia.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929