fbpx

JAIS harap imigresen serah Nur Sajat kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Sajat

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berharap agar Jabatan Imigresen menyerahkan usahawan kosmetik, Nur Sajat kepada pihak polis.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, terdapat waran tangkap dikeluarkan kepada Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman untuk tindakan pihak polis.

“Imigresen perlu menyerahkan Nur Sajat kepada pihak polis kerana ada waran tangkap dikeluarkan kepadanya untuk tindakan pihak polis.

“Pihak polis diharap dapat menyerahkan Nur Sajat terus ke mahkamah syariah atau serah kepada penguatkuasa JAIS untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini sebuah portal berita melaporkan Nur Sajat sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa negara gajah putih itu selepas mendapat maklumat mengenai keberadaannya di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

Menurut sumber portal berita terbabit, usahawan terbabit ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

Nur Sajat pada 9 September lalu didakwa di mahkamah Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara terbabit namun dia dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 23 Februari lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI