fbpx

Isteri hadiahkan zuriat terakhir sebelum ‘pergi’ akibat Covid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shahril Hakimi memangku anak bongsunya, Nur Hasmeyra, berusia sebulan bersama enam lagi anaknya yang lain di Rumah Rakyat Nilai di sini.

SEREMBAN – Seorang lelaki diduga dengan ujian berat apabila bergelar bapa tunggal kepada tujuh orang anak dalam sekelip mata selepas kehilangan isteri tercinta akibat jangkitan Covid-19.

Lebih menyedihkan, Mohd. Shahril Hakimi Hamdan, 41, berkata, isterinya, Hasmira Hussein, 38, yang ketika itu sedang mengandung meninggalkan zuriat terakhir mereka iaitu seorang bayi, Nur Hasmeyra Mohd. Shahril Hakimi yang selamat dilahirkan secara pembedahan pada 8 Ogos lalu.

Menurut Mohd. Shahril Hakimi, isterinya dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaa’far (HTJ) Seremban pada 4 Ogos lalu selepas mengalami sesak nafas dan ditidurkan oleh pihak hospital pada 7 Ogos lalu.

“Isteri saya yang sedang mengandung tujuh bulan mengalami demam, sesak nafas dan hilang deria bau serta rasa, malah ketika dijangkiti Covid-19, dia belum divaksin.

“Selepas itu, saya serta lima anak turut disahkan positif Covid-19 kerana menjadi kontak rapat kepada isteri kecuali anak ketiga tidak dijangkiti,” katanya yang kini tinggal di rumah ibunya di Rumah Rakyat Nilai di sini hari ini.

Jelas Mohd. Shahril Hakimi, isterinya telah menghembuskan nafas terakhir pada 20 Ogos lalu di hospital dan tidak sempat menatap bayi yang baru dilahirkan.

“Sebelum isteri ditidurkan, saya dan anak-anak sempat membuat panggilan video dan itu kali terakhir kami bercakap.

“Hanya Allah yang tahu keadaan saya pada masa itu memandangkan saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana menjalani kuarantin kendiri di rumah,” ujarnya.

Mohd. Shahril Hakimi yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual char kuetiau di sebuah warung di Nilai memberitahu, pada mulanya dia sukar menerima ujian berat itu, tambahan perlu menguruskan anak bongsu yang dilahirkan secara pramatang.

“Sepanjang 21 tahun mendirikan rumah tangga, isteri yang banyak menguruskan hal keluarga dan anak-anak, sekarang saya perlu kuat untuk mengambil tanggungjawab itu dan perlu bangkit semula,” katanya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI