LA PALMA, Sepanyol – Gunung berapi Cumbre Vieja di wilayah milik Sepanyol, Kepulauan Canary meletus kelmarin dengan menghamburkan lahar, abu dan asap tebal, beberapa hari selepas aktiviti seismik meningkat sekali gus memaksa sekitar 5,000 penduduk berpindah, kata pihak berkuasa.
Kali terakhir meletus 50 tahun lalu, Cumbre terletak di selatan Pulau La Palma yang didiami sekitar 80,000 orang.
“Letusan bermula di zon Cabeza de Vaca, El Paso sekitar pukul 3.00 petang (waktu tempatan),” kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Perpindahan adalah diwajibkan di 12 kawasan yang diletakkan di bawah amaran waspada peringkat tertinggi, manakala sebilangan pusat perlindungan sementara turut dibuka.
“Orang ramai diminta untuk sangat berhati-hati dan menjauhkan diri dari zon letusan bagi mengelakkan risiko yang tidak perlu,” kata kenyataan sama.
Ketua wilayah Kepulauan Canary, Angel Victor Torres berkata, zon letusan dilitupi hutan dan ‘jarang dihuni’ oleh manusia. Menurutnya, setakat ini tidak ada kematian dilaporkan. – AFP