SERDANG – Sebanyak 400 naskhah koleksi buku dakwah santai terbitan Bonda Nor Resources selamat diagihkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) baru-baru ini.
Kesemua buku tersebut merupakan wakaf daripada orang ramai melalui jualan yang dilakukan oleh pasukan Dropshipper Bonda Nor pada harga promosi baru-baru ini.
Menurut Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, projek wakaf buku itu merupakan salah satu inisiatif pasukannya untuk menyumbang sesuatu buat masyarakat.
“Terdapat sembilan judul dalam buku Bercakap Dengan Cermin (BDC) 2.0 ini yang mana ia merupakan nukilan kisah benar para penulis mengikut tema tersendiri yang mampu memberi ibrah dan motivasi buat pembaca.
“Buku ini merupakan kesinambungan daripada BDC 1.0 yang berjaya dijual dan diwakafkan hampir 45,000 naskhah pada tahun 2019,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS, Kolonel Dr. Aeriza Mohd Yusak berkata, pusat tersebut sebelum ini menerima pelbagai kategori pesakit termasuk pendatang asing.
“Biasanya bagi kategori pesakit yang serius, mereka sentiasa memikirkan betapa dekatnya dengan kematian. Namun, dalam tempoh beberapa minggu ini, kita dapat lihat ada penurunan pesakit kategori 4 yang dihantar ke sini.
“Oleh itu, dengan adanya sumbangan buku sebegini diharap ia dapat membantu pesakit lebih positif untuk cepat sembuh. Terima kasih kepada mereka yang sudi berwakaf,” ujarnya.
Buku-buku tersebut dihantar oleh wakil penulis BDC, Khadijah Mohamad Nor memandangkan Bonda Nor menetap di Kuala Terengganu.
Antara judulnya ialah Terima Kasih Tuhan, Terus Berjuang, Menggenggam Tekad, Tiada Selain Dia, Kembali Pada-Mu, Berbisik Ke Langit, Melerai Dendam, Jalan Keluar dan Peluang Kedua.
Untuk rekod, sehingga kini terdapat 2,500 pesakit yang menerima rawatan di PKRC MAEPS. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929