JOHOR BAHRU – Seramai 87,486 pelajar sekolah tingkatan empat dan lima di negeri ini akan menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di bawah pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, pelaksanaan program itu akan melibatkan kesemua 173 buah sekolah secara berperingkat di seluruh Johor bermula hari ini.
“Suntikan dos pertama akan diberikan kepada pelajar terlibat menjelang November ini manakala dos kedua dijangka akan dilengkapkan menjelang akhir Disember.
“Maklum balas yang diterima daripada golongan pelajar sendiri rata-ratanya positif, dengan majoriti daripada mereka bersemangat untuk berdaftar mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawan pusat pemberian vaksin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini hari ini.
Sementara itu, Mazlan turut memberitahu, pihaknya bagaimanapun turut menerima beberapa maklum balas daripada golongan ibu bapa yang belum bersedia untuk anak-anak mereka menerima suntikan akibat kekurangan akses internet, tiada pengangkutan atau tidak dapat mengambil cuti untuk menemani anak-anak mereka.
“Bagaimanapun saya yakin isu-isu berkenaan akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat ini,” ujarnya.
Tambah beliau, seramai 325 pelajar tingkatan empat dan lima SMK Taman Daya akan menerima suntikan hari ini dimana 21 daripada mereka terdiri daripada pelajar kelas Pendidikan Khas, 165 pelajar tingkatan empat, 139 pelajar tingkatan lima manakala 29 pelajar tidak hadir.
“Proses vaksinasi terhadap pelajar tingkatan tiga dan bawah akan dijalankan mengikut arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan setelah proses vaksinasi pelajar tingkatan empat dan lima selesai,” ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929