IPOH – Langkah-langkah pencegahan sewajarnya telah dilakukan oleh pihak pengurusan Rumah Orang-orang Tua Simee di sini termasuk kerja-kerja pembersihan berikutan kes jangkitan positif Covid-19 melibatkan 26 orang penghuninya.
Rumah jagaan tersebut menempatkan kira-kira 43 orang penghuni warga emas yang berusia antara 65 hingga 80 tahun.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata, jangkitan bermula apabila dua orang penghuninya demam Rabu lalu dan ujian saringan yang dilakukan kemudian mendapati salah seorang daripada mereka positif Covid-19.
Menurut beliau, susulan itu ujian saringan dilakukan oleh pihak pengurusan rumah berkenaan dan mengesan 14 penghuninya positif lalu dikenakan kuarantin manakala kerja-kerja disinfeksi dilakukan.
“Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy telah menghubungi pihak Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) Kinta pada Khamis bagi menjalankan ujian saringan lanjut pada 14 penghuni tadi.
“Hasil saringan itu, seramai 10 penghuni telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan lanjut manakala empat yang lain terus menjalani kuarantin di rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook.
Ujian saringan yang dijalankan oleh pihak JKD Kinta terhadap penghuni lain dan petugas rumah kebajikan itu mendapati kesemuanya negatif Covid-19.
Bagaimanapun, 10 lagi penghuni dikesan positif pada Sabtu lalu.
Kata Kah Woh, dua daripada penghuni yang dirawat di HRPB kini telah dibenarkan keluar setelah keadaan mereka pulih manakala yang lain dirawat termasuk di Hospital Sungai Siput.
“Kejadian jangkitan ini mengejutkan memandangkan rumah kebajikan ini tidak menerima pelawat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan tahun lalu.
“Buat masa ini tiada lagi kes positif dikesan dan kita akan memantau situasi dari semasa ke semasa,” ujarnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929