PENYANYI Zaskia Gotik mengakui berhenti sekolah ketika berada di kelas tiga sekolah menengah kerana mahu mengejar cita-cita menjadi penyanyi dangdut.
Dedah Zaskia, 31, dia hanya lulusan sekolah rendah dan tidak menghabiskan persekolahan menengah.
“Saya cuma lulus ketika di sekolah rendah. Saya berhenti belajar ketika di kelas tiga sekolah menengah kerana sibuk menyanyi setiap hari,” katanya.
Kata wanita berusia 31 tahun itu, selain sibuk menyanyi, dia juga mempunyai alasan sendiri untuk berhenti sekolah.
“Saya selalu dimarahi guru kerana sering datang lewat ke sekolah. Jadi saya membuat keputusan untuk berhenti dan bekerja sebagai penyanyi untuk membantu keluarga.
“Keluarga saya bukan orang senang. Bapa saya cuma pemandu ‘ojek’ dan ibu pula suri rumah tangga. Jadi tidak mengapa kalau saya bekerja ketika itu,” katanya.
Ujar Zaskia, ketika menyanyi, dia akan menerima bayaran upah antara 60,000 rupiah (RM17.50) sehingga 80,000 rupiah (RM23.33) sehari.
“Paling banyak saya akan dapat cuma 120,000 rupiah (RM35) sehari. Itu sudah cukup lumayan,” katanya.