LONDON – Tottenham Hotspur berdepan situasi paling sukar apabila ramai pemain utama mengalami kecederaan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Pengurus Spurs, Nuno Espirito Santo mengakui, nasib pasukannya kurang baik selepas aksi rehat antarabangsa kerana terpaksa melupakan khidmat ramai pemain penting akibat kecederaan dan kuarantin.
Steven Bergwijn dan Lucas Moura menjadi pemain terbaharu yang berada dalam senarai kecederaan selepas mereka terpaksa dikeluarkan ketika seri 2-2 menentang Rennes dalam aksi Liga Konferens Europa kelmarin.
“Kehilangan pemain-pemain penting ini sangat menyakitkan. Buat masa ini, saya tidak boleh beritahu anda siapakah yang akan beraksi Ahad nanti (malam ini) kerana belum ada perancangan.
“Secara jujur, dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku. Selepas aksi menentang Watford, serba-serbi tidak menjadi buat kami kerana berdepan banyak situasi yang sangat sukar,” kata bekas pengendali FC Porto itu.
Selain Bergwijn dan Moura, Spurs juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain antarabangsa Korea Selatan, Son Heung-min akibat cedera ketika beraksi bersama negaranya serta Eric Dier yang masih belum cergas.
Dalam pada itu, trio Amerika Selatan, Davinson Sanchez, Cristian Romero dan Giovani Lo Celso juga masih belum pulang ke London kerana perlu menjalani kuarantin di negara masing-masing. – AGENSI