BANGKOK – Separuh daripada 70 juta penduduk Thailand akan menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 menjelang akhir Oktober ini, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Jumlah itu merangkumi sekurang-kurangnya satu juta dos pertama dan kedua yang akan diberikan pada 24 September ini sebagai memperingati hari istimewa di negara itu.
Program pelalian bergerak pantas bulan ini apabila Thailand mendapat lebih banyak dos vaksin.
Vaksinasi mula memuncak pada 27 Ogos lalu apabila 38.6 juta penduduk (39.7 peratus) mendapat dos pertama dan 620,425 menerima dos ketiga.
Kelmarin, 547,324 dos vaksin telah diberikan menjadikan jumlah vaksin secara keseluruhan sebanyak 43.89 juta.
Membincangkan sasaran Kementerian Kesihatan Awam, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Opas Karnkavinpong berkata, kementerian itu akan memberikan sekurang-kurangnya satu juta dos pada Hari Mahidol iaitu hari memperingati pemergian Putera Mahidol pada 24 Jun 1929.
Putera Mahidol iaitu ayahanda baginda Raja Bhumibol Adulyadej adalah bapa perubatan moden dan kesihatan awam di Thailand.
Membincangkan rancangan vaksinasi, Dr. Opas berkata, dos utama adalah Sinovac sebagai suntikan pertama dan AstraZeneca sebagai dos kedua dengan jarak empat minggu.
“Kajian tempatan mendapati rejimen itu menghasilkan antibodi dalam jangka waktu yang lebih pendek daripada rejimen dua dos biasa.
“Bagi mereka yang mempunyai alahan pada dos pertama seperti ruam atau mengalami kesukaran bernafas, mereka akan mendapat jenis vaksin yang berbeza sebagai dos kedua,” katanya. -Agensi