RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 2.15 tan daun ketum di dalam bangsal, garaj dan ruang tamu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Air Merbo, Tanah Merah dekat sini semalam.
Daun-daun ketum yang dianggarkan bernilai RM64,500 itu dirampas pada pukul 7 petang semalam selepas sejam anggota PGA menjalankan intipan di rumah berkenaan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, anggota PGA menjalankan intipan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan ketum di rumah tersebut.
Menurutnya, dalam tempoh sejam intipan, beberapa buah kenderaan sama didapati telah berulang alik-alik masuk dan keluar kawasan Jedok ke Kampung Air Merbo.
“Ketika anggota PGA bertindak menyerbu rumah tersebut, beberapa orang lelaki telah bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran lokasi itu.
“Pemeriksaan di dalam sebuah bangsal yang terletak di belakang rumah dan bahagian garaj telah menjumpai plastik lut sinar mengandungi daun ketum. Selain itu, anggota PGA turut menemui bungkusan daun ketum di bahagian ruang tamu rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ku Majidin, pihaknya turut merampas lima buah kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan empat buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM178,750 serta lima unit telefon bimbit pelbagai jenama yang ditinggalkan oleh suspek semasa melarikan diri.
“Siasatan mendapati, rumah tersebut dipercayai dijadikan sebagai transit untuk daun-daun ketum itu sebelum ia diseludup ke negara jiran,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929