JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang terpaksa menahan sakit selepas pergelangan tangannya tersepit dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang di Jalan Dewani 4, Off Jalan Tampoi, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan lelaki warga tempatan berusia 29 tahun mengalami kecederaan patah pergelangan tangan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Ramli A. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.10 pagi dan mendapati pergelangan tangan mangsa tersepit dalam sebuah mesin pemotong pelekat selepas tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas untuk merenggangkan mesin dan mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam tempoh kira-kira 10 minit.
“Dia kemudian dihantar kepada pihak kesihatan untuk rawatan lanjut dan operasi tersebut ditamatkan pada pukul 10.51 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE